Yang Dirindui
Saturday 5 May 2012
KITA SEMUA BAKAL BERNIKAH DENGAN KEMATIAN
Usai doa sudah habis dibacakan pak imam, masih lagi
kedengaran suara teresak-esak menahan tangisan. Beberapa hadirin, masih lagi
merah mata mereka, dek kerana menangis melepaskan seseorang. Masing-masing
menahan sebak yang tidak dapat ditebak. Semua hadirin datang mengucapkan salam
buat pengantin tersebut, sebelum menempuhi alam baru. Hadirin datang menjenguk
pengantin tersebut, sebelum datang malam pertamanya.
Masing-masing datang tidak lupa menitipkan Al-Fatihah buat
pengantin terbabit. Manakala ahli keluarga tidak putus-putus menerima ucapan
takziah dan kata-kata semangat daripada tetamu yang datang. Pengantin yang
berpakaian serba putih itu, hanya kaku tidak bergerak. Suasana sayu
menyelubungi situasi itu. Tiada gelak ketawa, mahupun muka ceria, melepaskan
saudara mereka yang sudah dipanggil Illahi.
Rupa-rupanya pengantin tersebut sudah selamat dinikahkan.
Sudah selamat dinikahkan dengan kematian.
TIDAK MENGIRA USIA
Kematian
akan datang kepada seseorang apabila tiba masanya. Malaikat Izrail akan datang
menjemput tidak terlalu awal, tidak terlalu lewat daripada masa yang telah
ditetapkan. Tepat-tepat masa yang telah ditetapkan, Izrail akan datang
menjemput, walau apa jua situasi yang ditempuhi seseorang itu.
Baru-baru ini saya telah menerima berita bahawa seorang daripada
bakal guru, telah kembali ke rahmatullah. Asbab daripada pemergian arwah adalah
kerana kemalangan. Usai menerima perkhabaran atas pemergian arwah, saya masih
tidak percaya kerana pada usia sebegitu muda, setahun muda daripada saya, sudah
dijemput menerima panggilan dariNya.
Benarlah,
kematian itu tidak mengira usia. Kematian itu sudah ditetapkan saat kita semua
di dalam kandungan lagi. Ajal, jodoh dan rezeki sudah ditetapkan sebelum kita
semua diberi peluang untuk menjengah ke dunia yang sementara ini lagi.
Hadith
riwayat Abdullah bin Masud r.a:
Rasulullah saw. sebagai orang yang jujur dan
dipercaya bercerita kepada kami: Sesungguhnya setiap individu kamu mengalami
proses penciptaan dalam perut ibunya selama empat puluh hari (sebagai nutfah).
Kemudian menjadi segumpal darah selama itu juga kemudian menjadi segumpal
daging selama itu pula. Selanjutnya Allah mengutus malaikat untuk meniupkan roh
ke dalamnya dan diperintahkan untuk menulis empat perkara yaitu: menentukan
rezekinya, ajalnya, amalnya serta apakah ia sebagai orang yang sengsara ataukah
orang yang bahagia. Demi Zat yang tiada Tuhan selain Dia, sesungguhnya salah
seorang dari kamu telah melakukan amalan penghuni surga sampai ketika jarak
antara dia dan surga tinggal hanya sehasta saja namun karena sudah didahului
takdir sehingga ia melakukan perbuatan ahli neraka maka masuklah ia ke dalam
neraka. Dan sesungguhnya salah seorang di antara kamu telah melakukan perbuatan
ahli neraka sampai ketika jarak antara dia dan neraka tinggal hanya sehasta
saja namun karena sudah didahului takdir sehingga dia melakukan perbuatan ahli
surga maka masuklah dia ke dalam surga.
KEMATIAN SEBAGAI TAZKIRAH
Saban
hari kita melakukan rutin harian, sedarkah kita kematian itu sangat hampir
dengan kita? Setiap kali kita lalai dan leka, sedarkah kita kematian bila-bila
sahaja boleh menjemput kita?
Jika
hari ini kita mendengar kisah kematian orang lain, suatu hari nanti orang lain
akan mendengar kisah kematian kita. Mendengar perkhabaran kematian arwah
baru-baru ini, diri ini disapa dengan rasa keinsafan. Tiba-tiba terfikir,
cukupkah amalan diri sendiri untuk dibawa ke sana? Amalan diri sendiri sebagai
bukti untuk menghadapNya. Cukuplah kematian itu sebagai tazkirah kepada kita.
Sebelum
pergi menghadapNya, ayuh sama-samalah kita mempertingkatkan lagi amalan kita.
Teruskan memberi peringatan sesama kita sebelum kematian itu datang menjengah
dan menjemput kita semua.
Saya
bakal bernikah.
Kita
semua bakal bernikah.
Kita
semua bakal bernikah dengan kematian.
Bersediakah
kita untuk dijemput Izrail?
Bersediakah
kita untuk menghadapi malam pertama bersama Munkar dan Nakir?
Bersediakah
kita menempuhi alam yang baru, tanpa bekalan yang benar-benar mencukupi?
Kullu
nafsin zaa iqatul maut.
Subscribe to:
Posts (Atom)