Monday 26 March 2012


Jarak Antara Dua Hati

Suatu hari seorang guru bertanya kepada murid-muridnya, “Mengapa ketika seseorang sedang marah, dia akan bercakap dengan suara kuat atau berteriak?”

Seorang murid setelah berfikir cukup lama mengangkat tangan dan menjawab, “Kerana dia telah hilang sabar, oleh itu dia berteriak.” 

“Tapi…” guru bertanya kembali “Orang yang dimarahinya hanya berada dekat dengannya. Mengapa perlu berteriak? Kenapa dia tak berbicara secara lembut?” Hampir semua murid memberikan pelbagai alasan yang dirasakan logik menurut mereka. Namun tiada satu pun jawapan yang memuaskan.

Maka guru berkata, “Ketika dua orang sedang berada dalam kemarahan, jarak antara ke dua hati mereka menjadi amat jauh walaupun secara luaran mereka begitu dekat. Oleh itu, untuk mencapai jarak yang demikian, mereka harus berteriak. Namun anehnya, semakin kuat mereka berteriak, semakin pula mereka menjadi marah dan dengan sendirinya jarak hati yang ada di antara mereka menjadi lebih jauh lagi. Kerana itu mereka terpaksa berteriak lebih kuat dan keras lagi.”

Guru masih melanjutkan, “Sebaliknya, apa yang terjadi ketika dua orang saling jatuh cinta? Mereka tidak berteriak, mereka berbicara dengan suara yang keluar dari mulut mereka dengan begitu perlahan dan kecil. Seperlahan bagaimana pun, kedua-duanya masih dapat mendengar dengan begitu jelas. Mengapa demikian?” Guru bertanya sambil memerhatikan muridnya.

Mereka kelihatan berfikir panjang namun tiada seorang pun yang berani memberikan jawapan. “Kerana hati mereka begitu dekat, hati mereka tak berjarak. Sepatah kata pun tak perlu diucapkan. Sebuah pandangan mata saja cukup membuat mereka memahami apa yang ingin mereka sampaikan.”

Ketika kita sedang dilanda kemarahan, janganlah hati kita mencipta jarak. Lebih – lebih lagi mengucapkan kata-kata yang mendatangkan jarak hati diantara kita. Mungkin di saat seperti itu, diam mungkin merupakan cara yang bijaksana. Kerana waktu akan membantu kita.



Friday 23 March 2012

PUISI SEBAB DIA ADALAH SAHABAT.

Dia adalah yang Allah beri kepadaku,
walau yang mencarinya adalah aku,
maka dia adalah hadiah,
mustahil sekadar dilempar begitu.

Biarlah dia berbicara hanya sedikit,
Biarlah dia berjauhan,
Biarlah kadangkala ada salah sangkaan,
Biarlah ada waktu dia melukakan,

Sebab dia adalah sahabat,
maka aku tidak pernah menghiraukan.

Mengira bahagia-bahagia yang wujud bila dia ada di sisi,
itu sahaja sudah melebihi dunia dan segala isi.

Kalau dia tiba-tiba menyimpang,
aku adalah yang akan menghulurkan tangan dan tidak berjauhan,
Kalau aku adalah yang tersungkur,
aku akan segera bangkit agar dia tidak kususahkan.

Sebab dia adalah sahabat,
dan aku tahu sahabatku adalah manusia,
maka aku hormati kekurangan yang ada,
dan aku besar-besarkan kelebihannya,

Hanya iman yang mampu melestari hubungan ini,
mengekstensi hingga ke syurga nanti.
Sebab dia adalah sahabat,
mustahil aku mahu berada di Syurga tanpa dia di sisi.






Wednesday 14 March 2012


“Tanya sama iman, apa sebab goyang?
Nanti jawab iman, ujian yang goncang..
Tanya sama ujian apa sebab goncang?
Nanti jawab ujian, tanyalah akal..
Akal nanti kata, aku kandung ilmu..
Sampai tempat perlu, aku pun seru..
Tengok dalam hati, nampak tempat gelap, 
campak Nur Hidayah, gelap pun hilang ~”