♥ Jarak Antara Dua Hati ♥
Suatu hari seorang guru bertanya kepada
murid-muridnya, “Mengapa ketika seseorang sedang marah, dia akan bercakap
dengan suara kuat atau berteriak?”
Seorang murid setelah berfikir cukup lama
mengangkat tangan dan menjawab, “Kerana dia telah hilang sabar, oleh itu dia
berteriak.”
“Tapi…” guru bertanya kembali “Orang yang
dimarahinya hanya berada dekat dengannya. Mengapa perlu berteriak? Kenapa dia
tak berbicara secara lembut?” Hampir semua murid memberikan pelbagai alasan yang
dirasakan logik menurut mereka. Namun tiada satu pun jawapan yang memuaskan.
Maka guru berkata, “Ketika dua orang sedang berada
dalam kemarahan, jarak antara ke dua hati mereka menjadi amat jauh walaupun
secara luaran mereka begitu dekat. Oleh itu, untuk mencapai jarak yang
demikian, mereka harus berteriak. Namun anehnya, semakin kuat mereka berteriak,
semakin pula mereka menjadi marah dan dengan sendirinya jarak hati yang ada di
antara mereka menjadi lebih jauh lagi. Kerana itu mereka terpaksa berteriak
lebih kuat dan keras lagi.”
Guru masih melanjutkan, “Sebaliknya, apa yang
terjadi ketika dua orang saling jatuh cinta? Mereka tidak berteriak, mereka
berbicara dengan suara yang keluar dari mulut mereka dengan begitu perlahan dan
kecil. Seperlahan bagaimana pun, kedua-duanya masih dapat mendengar dengan
begitu jelas. Mengapa demikian?” Guru bertanya sambil memerhatikan muridnya.
Mereka kelihatan berfikir panjang namun tiada
seorang pun yang berani memberikan jawapan. “Kerana hati mereka begitu dekat,
hati mereka tak berjarak. Sepatah kata pun tak perlu diucapkan. Sebuah
pandangan mata saja cukup membuat mereka memahami apa yang ingin mereka
sampaikan.”
Ketika kita sedang dilanda kemarahan, janganlah
hati kita mencipta jarak. Lebih – lebih lagi mengucapkan kata-kata yang
mendatangkan jarak hati diantara kita. Mungkin di saat seperti itu, diam
mungkin merupakan cara yang bijaksana. Kerana waktu akan membantu kita.
No comments:
Post a Comment